Wednesday, 30 April 2014

LAMPIRAN




PERBEZAAN MATLAMAT DAN TUJUAN HAK ASASI MANUSIA DARI PERSPEKTIF SYARIAH BERBANDING PEMIKIRAN BARAT

PERBEZAAN MATLAMAT DAN TUJUAN HAK ASASI MANUSIA DARI PERSPEKTIF SYARIAH BERBANDING PEMIKIRAN BARAT

Perlu dinyatakan bahawa terdapat perbezaan matlamat di antara hak asasi manusia yang ditinjau dari sudut Tasauwur Islami dan dengan hak asasi manusia berasaskan pemikiran Barat. Matlamat perakuan hak dari perspektif Barat ialah untuk memperkasa nilai hidup Barat dengan penekanan kepada kepentingan hak berkenaan dan keperluan menyebarluaskannya. Termasuk dalam matlamat mereka juga ialah untuk menjadikan nilai tamadun Barat sebagai sumber sistem sosial dan pembentukan tamadun dunia ini, dengan andaian bahawa hak-hak tersebut muncul dan lahir daripada tamadun Barat itu sendiri. Lebih jauh, catatan perkembangan sejarah pemikiran mengenai hak manusia di Barat menjelaskan bahawa maksud sebenar usaha mengabsahkan (legalize) hak asasi manusia ialah untuk merealisasikan segala matlamat dan nilai Barat yang menjadi ciri utama bangsa serta kumpulan tertentu yang hidup di Barat.

Perisytiharan hak asasi manusia datang seiring dengan kemunculan revolusi Perancis. Perisytiharan tersebut bertujuan untuk melepaskan rakyat daripada belenggu dan kongkongan politik golongan bangsawan, raja dan pemerintah tirani Perancis. Hak-hak ini juga muncul sejajar dengan kelahiran karya-karya pemikir Reformis Agama Protestan di Eropah. Golongan ini pula berusaha keras menentang pengaruh gereja dengan cara menegaskan bahawa manusia mempunyai hak natural atau tabii. Manusia menurut mereka memiliki kedaulatan yang tidak dibatasi oleh mana-mana kedaulatan lain; baik sebagai golongan bangsawan, golongan raja mahupun agama.

Sebenarnya dari sudut perkembangan sejarahnya, adalah menjadi hasrat para penatar konsep hak asasi manusia di Barat untuk menekankan nilai dan prinsip yang digagaskan oleh para pemikir golongan Kapitalis di Eropah. Matlamat ini mahu diperkasa dan dimantapkan lagi dalam perkembangan pemikiran di Barat seterusnya dalam era pertembungan pemikiran dengan prinsip dan aliran Sosialisme dan Komunisme.

Aspek ini juga sering dieksploitasi secara politik bagi mencorakkan hubungan antara bangsa kini di antara Negara blok Barat dengan Negara blok Timur. Perkara ini juga dijadikan alasan untuk memaparkan kepincangan hak yang dinikmati oleh golongan minoriti tertentu di mana-mana negara di dunia ini bagi mengancam dan menggugat rejim pemerintah tertentu di negara dunia ketiga.

Sebenarnya hak asasi manusia di Barat bukanlah cetusan daripada prinsip undang-undang yang tetap untuk menyelesaikan masalah realiti manusia. Bahkan ia bukan bermaksud untuk meraih matlamat luhur manusia sejagat.

Ini berbeza dengan konsep hak dalam syariat Islam. Hak manusia sangat berkaitan dengan tujuan pokok syariat; untuk merealisasikan 'ubudiyyah atau penyembahan makhluk manusia kepada Allah, melindungi Maqasid as-Syariah yang tersimpul dalam perlindungan terhadap lima kepentingan asas manusia iaitu melindungi agama, nyawa, akal, harta dan nama baik. Juga untuk menyempurnakan keperluan wujud melalui penggubalan peraturan mengenai hubungan manusia dalam pelbagai bidang muamalat. Akhirnya ialah untuk menyempurnakan keperluan tahsiniyyat yang melengkap dan meningkatkan lagi kualiti kehidupan manusia melalui keutamaan akhlak dan pengukuhan budi bahasa.

Dengan penjelasan kita terhadap perbezaan di antara tasawwur, susun atur dan perlaksanaan hak-hak dalam syariat Islam berbanding manhaj pemikiran Barat, maka ketaralah kesilapan anggapan segolongan para pemikir dan penulis yang mengandaikan wujudnya persamaan antara hak tabii perspektif Barat dengan hak manusia dari perspektif syariat. Antara yang beranggapan demikian ialah Dr Ahmad Jalal Hamad. Beliau menegaskan:

"Apa yang dipanggil oleh pemikir Barat sebagai undang-undang tabii sebenarnya tidak ada bezanya dengan pengertian Islam terhadap apa yang dipanggil peraturan Allah yang abadi untuk seluruh manusia dan tetap unggul mengatasi segala undang-undang lain. Ada kemungkinan besar para pemikir undang- undang tabii di Barat telah mencedoknya daripada kalangan orang Islam ketika wujud pertemuan tamadun Barat danTimur di Andalusia ( pada satu masa dahulu)."

Pada hal, sebenarnya titik-tolak hak manusia di Barat ialah hak tabii yang sangat berkait dengan perihal diri dan individu subjektif seseorang dari sudut tabiinya; terlepas daripada masalah konsep atau manhaj. Berbeza dengan hak syar'i manusia dalam Islam, ia bersandarkan kepada penghormatan dan Takrim Ilahi kepada manusia itu sendiri. Ia berhubung rapat dengan konsep 'Ubudiyyah; perhambaan manusia kepada Allah dan kepatuhannya kepada syariat gubalan-Nya di samping ketaatannya kepada Rasulullah s.a.w. Perbezaan ini semakin jauh apabila kita merujuk kepada penyifatan undang-undang, pencerakinannya yang terperinci, masalah Maqasid dan kesan hukum yang berkaitan dengannya.

KEMAJUAN PERKEMBANGAN TAFSIRAN HAK ASASI MANUSIA.

 KEMAJUAN PERKEMBANGAN TAFSIRAN HAK ASASI MANUSIA.

Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) telah dijadikan panduan untuk lebih banyak lagi piagam hak asasi manusia. Walau bagaimanapun, konsep hak asasi manusia telah lama wujud dalam tradisi dan dokumen yang lebih awal. UDHR sendiri telah digubal berdasarkan dokumen seperti English Magna Carta of 1215, US Bill of Rights of 1776, dan French Declaration of the Rights of Man and Citizens of 1789.

Sebelum undang-undang dan garis panduan tersebut didokumenkan, masyarakat dan agama telahpun mengiktiraf hak asasi manusia. Konsep hak asasi manusia boleh ditemui dalam pemikiran masyarakat feudal, perundangan Rome, falsafah Greek, Old Testament, dan juga dalam masyarakat primitif, walaupun mungkin mereka tidak mempunyai perbendaharaan kata atau perkataan yang secara langsung menggambarkan hak asasi manusia (Alan Gewirth, 1989). Kebanyakkan masyarakat juga mempunyai tradisi yang mengatakan "Berbuatlah kepada orang lain sebagaimana anda mahu mereka berbuat kepada anda" dan juga mempunyai sistem hak dan tanggungjawab.

Hak asasi manusia sebenarnya menggambarkan toleransi dalam agama yang menjadi asas keamanan dan kemajuan. Agama secara amnya membincangkan persoalan mengenai kewajipan, hak dan tanggungjawab setiap manusia. Agama mengajar kita untuk menyayangi dan menghormati sesama sendiri dan mempertahankan kehormatan orang lain, yang merupakan asas hak asasi manusia. Contohnya, antara hak-hak yang diperuntukkan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Oleh Majlis Islam Sedunia (Universal Islamic Declaration of Human Rights) yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah, dikumpul oleh cendiakawan Islam yang terkemuka, ialah Hak Untuk Hidup; Kebebasan; Kesamarataan dan Larangan Terhadap Diskriminasi Yang Tidak Diizinkan; Keadilan; Perbicaraan Yang Adil; Perlindungan Daripada Penyalahgunaan Kuasa; Perlindungan Daripada Penyeksaan; Perlindungan Kemuliaan dan Reputasi; Pelarian; Kumpulan Terpinggir; dan lain-lain.

Hak Asasi Manusia

DEFINISI HAK ASASI MANUSIA

Hak Asasi Manusia adalah asas kepada kewujudan manusia dan kewujudan bersama manusia .Hak Asasi Manusia bersifat sejagat tidak boleh dibahagikan dan saling bergantungan . Hak asasilah yang menjadikan kita manusia dan menurut Kamus Dewan hak asasi ialah hak yang dasar atau pokok seperti hak bebas mengeluarkan pendapat, menganut sesuatu agama, bergerak dan lain-lain. Contoh yang diberi itu sebenarnya hanya merujuk kepada makna tradisi hak asasi manusia. Dengan perkembangan zaman, makna hak asasi harus diberi tafsiran yang lebih .

 PENAFSIRAN MODEN

Terdapat tiga dokumen penting berkenaan Hak Asasi Manusia iaitu Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil and Politik 1966 dan Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan 1966. Dalam kedua-dua kovenan antarabangsa tersebut, hak asasi manusia tidak terbatas kepada hak-hak berikut:

  1. Hak kebebasan bercakap, kebebasan beragama, kebebasan berkumpul dan menubuhkan persatuan, kebebasan daripada penderaan dan kesaksamaan di bawah undang-undang adalah hak sivil dan berpolitik.
  2. Hak kepada pendidikan, pekerjaan dan rekreasi, hak menikmati perkhidmatan yang minimum berkenaan kesihatan, tempat tinggal serta persekitaran yang selamat adalah Hak sosial, kebudayaan dan ekonomi.Konsep kontrak sosial menggariskan hubungan antara ahli-ahli masyarakat di mana setiap ahli melepaskan hak individu tertentu untuk mendapatkan keselamatan sosial yang bersifat kepentingan ramai. Pemikiran Rousseau ini telah menampakkan pengaruhnya dalam pemikiran hak asasi moden. Maka sepanjang pembentukan tamadun moden, imbangan antara hak individu dan hak ramai merupakan topik utama dalam perdebatan berkenaan hak asasi manusia.


Tafsiran Setiausaha Agung
Hak asasi manusia adalah asas kepada kewujudan manusia dan kewujudan bersama manusia. Hak asasi manusia bersifat sejagat, tidak boleh dibahagikan dan saling bergantung. Hak asasilah yang menjadikan kita manusia. Berteraskan prinsip hak asasi manusialah kita membina kesucian maruah manusia.

Perbezaan Model kognitif Dalam Konsep Hak Asasi Manusia
Hak asasi manusia mulai mendapat tempat di arena antarabangsa melalui Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Perisytiharan tersebut dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang keahliannya terdiri daripada kebanyakan negara-negara merdeka di dunia.
Kumpulan lain juga menerima pakai piawaian hak asasi manusia. Komuniti Europah (European Community) misalnya telah mendeklarasikan Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi dan Kebebasan Asasi 1950 yang mempunyai kuasa mengikat dari segi undang-undang terhadap negara anggota Komuniti Eropah.

Sementara itu, Majlis Islam juga telah mengisytiharkan Perisytiharan Islam terhadap Hak Asasi Manusia yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Perisytiharan ini lebih mementingkan semangat ummah yang membawa konsep komuniti. Setiap hak asasi manusia yang ditera dalam perisytiharan itu membawa bersama tanggungjawab tertentu. Dalam setiap hak asasi manusia yang tertera, semua pihak adalah tertakluk kepada batasan untuk memenuhi syarat moral, ketenteraman awam serta kebajikan ummah.

Bagi tamudun lama Cina pula, susunan masyarakat berasaskan persetujuan dalam keluarga, kemudian dilanjutkan persetujuan itu ke peringkat kampung dan negara. Susunan masyarakat Cina yang berasaskan fahaman Confucius sememangnya berbeza dengan di negara-negara Barat yang lebih individualistik.

Perbezaan dari satu tamadun ke tamadun yang lain menampakkan perbezaan persepsi antara hak asasi manusia. Di satu pihak terdapat unsur individualistik yang mementingkan hak individu dan bersifat bertentangan dengan hak ramai. Di satu pihak yang lain pula terdapat semangat komuniti yang tinggi yang mementingkan hak ramai daripada hak individu.